"Jika niat berpurdah adalah untuk menutup dan menyembunyikan, kenapa masih selfie dan posting bertaburan?"
"Asyik nak tegur niqabis je. Sekurang-kurangnya kami tutup aurat. Kenapa tak ditegur yang free hair tu?"
______________________________
"Menutup aurat adalah satu kewajipan yang bertujuan memelihara perempuan dari menjadi pameran."
"Kami free hair pun, sekurang-kurangnya kami tak mencarut, tak couple. Yang bertudung labuh tu galak keluar dating, kenapa tak tegur?"
______________________________
Assalamu'alaikum! Hai semua!
Pernah tak korang dengar ayat-ayat macam dekat atas tu? Okeylah, kalau tak pernah dengar pun, mungkin paling kurang korang pernah terbaca. Walaupun bukan sama 100%, tetapi ayat-ayat yang korang dengar dan baca tu mesti membawa maksud yang hampir serupa dengan ayat kat atas tu kan? Betul tak?
Teguran dibalas dengan sebuah persoalan. Menampakkan kesalahan orang demi menutupi kesalahan sendiri. Jangan marah yaa. Aku tak tunjuk siapa-siapa. Aku just tulis dekat sini je. Chill. Jangan marah-marah dekat aku okey. 🤣
Aku tak nak bahas, mana teguran yang betul, siapa lebih baik, siapa lagi mulia. Tak, aku tak nak cakap pasal semua tu. Aku cuma nak pesan untuk diri aku dan korang semua yang membaca. (Aku pun tak tahulah ada orang baca ke tak sebenarnya. Kehkeh)
Kenapa aku pilih tajuk macam yang korang baca tu?
MEMPERSOALKAN TEGURAN
Sebab benda ni dah banyak berlaku dalam masyarakat. Zaman sekarang, benda ni dah berleluasa. Bila kau tegur seseorang, orang tu soalkan salah orang. Lagi broken, dia cari salah kau balik. Bukan sebab nak kau betulkan diri. Tapi lebih kepada nak menangkan diri dan pertahankan apa yang silap.
Hei, kawan... Kita masing-masing makin dewasa dan besar. Bertambahnya usia kita, membesar juga keegoan dalam diri kita. Tapi, kita jangan lupa untuk jadi semakin matang juga. Kematangan itu yang menguatkan kita untuk menundukkan ego sendiri.
10 tahun lepas, kau ada ego. Dan bila kau rasa ego kau tercalar, kau marah, kau membentak, kau memberontak dan mungkin, kau hentak-hentak kaki ke lantai. Tapi, takkan selepas 10 tahun, iaitu hari ni, kau masih tidak berubah dari sikap yang lalu?
Kematangan itu mengawal tindakan kau. Kalau kau dah semakin matang, mesti tindakan kau akan lebih cermat dan hemat di masa sekarang. Bila rasa ego tercabar, meninggi suara bukan lagi pilihan. Tapi, duduk sendirian menahan amarah, lalu muhasabah diri sendiri, itulah jalan terbaik.
Pernah tak korang dengar hadith Nabi SAW tentang mencegah kemungkaran? Mesti pernah kan. Ada 3. Tangan (perbuatan), lisan (perkataan) atau diam yang selemah-lemah iman.
Teguran melalui penulisan juga, satu bentuk usaha mencegah kemungkaran. Menegur/menasihati adalah satu cara mencegah kemungkaran. Aku pun manusia biasa. Bila ditegur, lagi-lagi secara umum, memang akan rasa yang ego kita tercabar.
Rasa sakit je hati, rasa tak puas hati je dengan orang yang menegur tu. Sebab kita rasa macam tak ada adab dia dalam menegur. Kita rasa diaibkan di khalayak ramai. Mesti akan terdetik juga dalam hati, "Ah, biarlah! Life aku. Kau sibuk, pahal?"
Tapi, cuba kita tenangkan diri dan jangan layan dulu perasaan marah yang membuak tu. Bila kita dah tenang, kita boleh try positifkan pemikiran dan diri kita. Okey, aku nak share sikit cara aku. Ingat apa aku kata tadi. Aku pun manusia biasa, ada salah silap, ada egonya.
Bila ada orang tegur, dan aku rasa tak boleh nak terima, aku akan diam selama mana aku rasa perlu. Jauhkan diri dari media sosial untuk sementara waktu. Dan kemarahan aku akan mula reda sedikit demi sedikit. Bila marah dah mula hilang ni, emosi tu tidaklah terlalu menguasai fikiran kita.
Waktu tu aku akan mula berfikir yang baik-baik. Tak ada dah rasa nak maki hamun, nak sembur orang, nak campak barang, nak gigit orang. Takde dah. Otak dan hati ni akan ajak berfikir.
Cuba muhasabah diri kau. Mungkin, apa yang orang tu cakapkan betul. Tapi, cara dia saja yang kurang betul. Kalau bukan dengan izin Allah, mesti kau tak dapat teguran tu.
Yes! Cara nak tenangkan hati dalam menerima teguran (cara aku ya), adalah dengan kembalikan semuanya pada Allah. Allah tak pernah nak bagi keburukan pada kita. Malah, selalu beri yang terbaik untuk kita. Hatta musibah yang datang melanda, itu tetap yang terbaik untuk kita.
Bukan maksudnya Allah tak sayangkan kita. Tapi, sebab di sebalik musibah tu, kita dapat dan belajar sesuatu. Macam tu jugalah dengan teguran. Datang dengan izin Allah, jadi pasti membawa kebaikan.
Bagi aku, satu benda je. Kalau kita tolak keburukan yang menimpa pada kita kerana rasa ianya sia-sia, kita sebenarnya yang rugi.
Sebab apa? Sebab Allah uji kita dengan sesuatu yang kita mampu. Allah Maha Mengetahui, kita mampu hadapi ujian itu.
Btw, aku cakap pasal matang, bukan maksudnya Iman tu tak penting ya. Saling berkait. Kalau roh kita biarkan lapar, mana mungkin Iman meningkat. Gunakan rasional akal, dan berfikir jangan sampai menggugat akidah.
Teguran mungkin nampak tak kena kerana cara penyampaiannya yang tidak sesuai. Tapi, bila sesebuah teguran sampai pada kita, tindakan kita mencermin diri. Kalau kita tak salah, kita tak terasa. Kalau kita terasa, apa salahnya jadikan ingatan untuk baiki diri?
Itu bab Nahi Mungkar
Jangan lupa bahawa sebelumnya ada Amar Makruf
Dalam galak menegur kesalahan, jangan lupa mengajak kepada kebaikan. Baru lengkap sebuah teguran. Biarlah dalam kita mencegah kemungkaran tu, buat orang rasa disuruh melakukan kebaikan. Baru sempurna Amar Makruf, Nahi Mungkar.
Aku nak ingatkan juga, bila menegur jangan rasa diri mulia dan tolong jangan lupa untuk beradab. Kalau teguran tu dilakukan secara biadab, bimbang membawa kepada musibah lebih besar. Mungkin, buat orang rasa trigger, rasa di provoke. Dan akhirnya terus nak buat dosa tanpa kisah dah orang nak kata apa.
Aku tidak menulis untuk mengajar korang. Aku cuma menulis untuk sama-sama kita fikirkan. Aku tahu terlalu banyak kekurangan dalam penulisan aku. Maafkan aku, dan doakanlah aku.
Akhir kata, tak kiralah siapa kita, berpurdah, berniqab, berkopiah, berserban, tok imam, lebai, tutup aurat ke, free hair ke... Elakkan rasa diri lebih baik, dan orang lain lagi banyak dosa. Hakikatnya, setiap orang ada dosa.
Hakikatnya lagi, Allah selalu mengalukan kehadiran kita yang berdosa ni untuk bertaubat. Walaupun kita yang paling menutup aurat antara semua orang, meskipun kita yang paling berakhlak antara semua orang, tetap kita tak dapat nafikan yang kita juga kadangkala ada salah silapnya.
Teguran yang datang, moga menginsafkan kita. Hari mendatang, moga memanusiakan kita.
No comments:
Post a Comment